Saturday, March 7, 2009

ADAT PERKAHWINAN MELAYU MENGIKUT NEGERI


Istiadat negeri Melaka


Unsur-unsur kebudayaan dalam perkahwinan orang Melayu Melaka, berjalan berperingkat mengikut tertib dan menjadikan warisan adat resam ini sesuatu yang unik. Masyarakat di pinggir pantai Melaka mengamalkan unsur adat yang berlainan dengan masyarakat di bahagian barat.
Terdapat dua cara digunakan bagi amalan dalam menentukan jodoh atau mencari jodoh iaitu berdasarkan kesanggupan kedua belah pihak lelaki dan perempuan. Kaedah pertama adalah pemilihan pihak lelaki itu sendiri dan kaedah keduanya melalui pilihan ibu bapanya. Kaedah kedua pula, pemilihan dibuat oleh ibu bapa si teruna setelah berkenan akan seseorang gadis yang dipilih untuk menjadi bakal menantunya dan diberitahu kepada anak terunanya.
Merisik ialah cara untuk mengetahui sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Rombongan merisik biasanya dibuat oleh saudara atau keluarga terdekat.
Upacara meminang si gadis akan dibuat hanya setelah keluarga gadis itu memberi persetujuan. Kerja meminang dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak.
Semasa upacara menghantar tanda, sebentuk cincin akan dihantar untuk disarungkan ke jari tunangannya. Adat menyampai dan menerima cincin dilakukan di rumah gadis tersebut..
Upacara hantar belanja dijalankan pada tarikh yang telah dipersetujui dan sekali lagi rombongan pihak lelaki datang ke rumah pihak perempuan. Mereka akan saling bertukar hantaran serta iringan setelah kedua pihak menghuraikan janji dan menyelesaikan masalah yang bersangkutan.
Jika dijalankan upacara menghantar belanja pada siang hari, maka malamnya pula diadakan majlis 'menyerambi bertunang'. Adat ini dilakukan di serambi rumah.
Pihak ibu bapa pengantin lelaki akan membuat acara menjemput tetamu iaitu menjemput orang-orang tua kampung untuk memberitahu majlis perkahwinan yang akan diadakan. Mereka akan membuat tepak sirih dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya untuk bersama-sama meraikan majlis itu.
Majlis berinai curi diadakan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Mulai malam tersebut, jari-jari dan tapak tangan serta keliling tapak kaki pengantin perempuan diinai. Berinai curi biasanya diadakan sekurang-kurangnya satu malam tapi biasanya ia diadakan tiga malam.
Malam berikutnya majlis berinai kecil diadakan. Ianya disertai oleh pengantin lelaki.
Keesokan harinya diadakan istiadat berandam di mana upacara memotong rambut di bahagian depan kepala dijalankan oleh tukang andam. Pengantin perempuan biasanya dicukur anak rambut di dahi serta di pelipisnya. Pada petang itu juga diadakan upacara mandi berhias. Biasanya upacara ini memerlukan sebiji kelapa muda ditebuk berbentuk pucuk rebung, beras basuh, sirih berkapur, gunting, kain putih, tepung tawar dan ikatan dua sepilih dan daun ribu-ribu. Mandi berhias dijalankan ke atas kedua pasangan pengantin dan biasanya dibuat di serambi atau pelantar tengah berhadapan dengan pintu luar rumah didahului oleh pengantin lelaki dan diikuti oleh pengantin perempuan.
Upacara akad nikah dijalankan pada malam selepas mandi berhias dan sebelum majlis berinai. Pakaian pengantin lelaki serba putih kecuali songkok dan kasut.
Setelah selesai upacara akad nikah, majlis berinai besar dilakukan di atas pelamin dengan dimulai oleh pengantin lelaki. Ahli-ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu.
Hari persandingan juga disebut hari langsung yang diadakan pada hari esoknya. Jamuan di rumah pengantin perempuan akan diadakan secara besar-besaran. Pengantin lelaki akan menuju ke rumah pengantin perempuan dengan diiringi dengan pukulan rebana dan sanak saudaranya untuk upacara persandingan.
Makanan disediakan di bilik pengantin di mana peneman-peneman pengantin lelaki turut bersama dan mereka akan dilayan oleh pengantin perempuan. Mak Andam merupakan orang utama di dalam majlis itu (makan damai). Pada malamnya pula, sekali lagi diadakan majlis makan yang dihadiri oleh waris dari kedua belah pihak. Di dalam majlis ini, besan dengan besan akan duduk bersama dan kedua pengantin akan berkenalan dengan waris dan sanak saudara dari kedua belah pihak.
Majlis jemput menantu ini diadakan untuk pengantin perempuan yang dijemput ke rumah pengantin lelaki berserta pengiring-pengiringnya. Rombongan pengantin perempuan tidak akan ke rumah bapa mertuanya selagi pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya tidak datang menjemput . Kedatangan pengantin lelaki digelar sebagai 'balik minum air'.
Setelah pengantin perempuan pulang ke rumahnya, pengantin lelaki akan tidur di rumah isterinya pula. Pengantin lelaki akan menyembahkan tepak sirih ketika menjelang subuh kepada bapa mertuanya. Acara ini dipanggil malam satu.

sumber rujukan:
http://www.pengantin.com.my

Istiadat perkahwinan diraja Perak


Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat.

Upacara perkahwinan Diraja Perak bermula dengan adat istiadat meminang, bagaimanapun sebelum istiadat ini disempurnakan, seorang wakil ditugaskan untuk merisik kedua-dua belah pihak. Selepas diketahui pinangan itu diterima, sirih peminangan dihantar sebagai tanda. Peralatan sirih peminang bergantung kepada kemampuan seseorang, tetapi lazimnya tidak melebihi 16 bingkisan, iaitu lapan puan (bekas) keemasan yang bertetampan berisi sirih dan lapan bundi keemasan yang bertetampan berisi selengkap persalinan. Sekiranya peralatan sirih peminang itu memuaskan hati waris perempuan, maka peminangan itu diterima sebagai meletak tanda atau bertaruh kata.

Istiadat Akad Nikah akan berlangsung pada tarikh yang ditetap dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. Pada hari berkenaan, pengantin lelaki berpakaian sederhana dan dipersilakan bersemayam di atas coir keemasan yang disediakan di hadapan petarakna diiringi oleh pengapit yang membawa mahar atau mas kahwin.

Istiadat Berlimau ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu Istiadat Berlimau Besar (atau dikenali sebagai istiadat bersiram khutbah) dan Istiadat Berlimau Kerana Hendak Menampal Inai. Kedua-dua istiadat ini biasanya dijalankan pawang darat dan pawang jahir mengikut jawatan dan kuasanya didahului oleh Raja Cik Muda. Air yang digunakan untuk istiadat ini diambil daripada tujuh kuala sungai dan diisikan ke dalam geluk emas atau perak mengikut taraf masing-masing.

Apabila tiba hari yang ditetapkan, kedua pengantin berpakaian istiadat dan diarak hingga ke istana lalu disambut waris pengantin dengan penuh istiadat. Kedua pengantin akan dipimpin dan disemayamkan di atas petarakna untuk Istiadat Bersanding. Ketika bersanding, istiadat menepung tawar dijalankan oleh beberapa orang Raja dan Orang Besar-Besar yang diikuti dengan melayani santap nasi adap-adapan dan bersuap-suapan oleh isteri Raja-raja yang berusia.

Selepas tiga hari tiga malam istiadat bersanding, kedua-dua pengantin dipersalinkan dengan selengkap pakaian kerajaan dan diarakkan dengan jawat nobat ke Balai Panca Persada untuk menyempurnakan Istiadat Bersiram Sampat. Selesai bersantap, mereka dibawa menyembah atau memberi hormat kepada mentua dan ayahanda bonda kedua. Setelah selesai, dikurniakan sembah itu dengan wang emas dan lain-lain dinamakan lapik sembah oleh orang yang terkena sembah.

sumber rujukan: http://intim.wordpress.com


Istiadat negeri Kedah


Tahap-tahap istiadat yang hendak dijalankan perlulah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Istiadat-istiadat yang berlangsung dalam Istiadat Perkahwinan adalah Merisik, Meminang, Meletak Kerja, Berinai (besar dan kecil), Menerima Hantaran, Bersanding/Merenjis dan Bersiram.

Tahap pertama merupakan istiadat merisik dengan disusuli Istiadat Meminang. Setelah selesai Istiadat Meminang dan setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah, Istiadat Meletak Kerja disempurnakan. Dalam Istiadat ini, warkah peminangan dan segala hantaran dipersembahkan. Istiadat Meletak Kerja berikutnya didahului dengan paluan Nobat dan tembakan meriam sembilan das. Istiadat Berandam dilangsungkan selepas Istiadat Meletak Kerja dan dijalankan oleh Mak Andam dengan menggunakan peralatan istiadat yang diwarisi sejak dahulu. Pengantin Puteri ditepung tawar dan disintuk limau sebelum dimandikan.

Istiadat Berinai Kecil dilangsungkan selepas Istiadat Berandam. Istiadat Berinai Kecil hanya melibatkan kaum wanita sahaja. Kerja memetik inai di tambak inai disempurnakan oleh pawai perermpuan dengan iringan muzik tradisional. Tahap seterusnya merupakan Istiadat Hantaran dan Penerimaan Mas Kahwin serta Akad Nikah. Tempatnya berlangsung di Dewan Penghadapan.

Istiadat Berinai Besar diadakan pada sebelah malam pada hari yang sama dengan Istiadat Penerimaan Mas Kahwin dan Akad Nikah. Dalam Istiadat Berinai Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang kanan merenjis dan menepung tawar Pengantin DiRaja Putera. Manakala Pengantin DiRaja Puteri pula direnjis dan ditepung tawar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang lain.

Kemuncak Istiadat Perkahwinan ialah Istiadat Persandingan yang berlangsung serentak dengan Majlis Santapan Malam. Kedua-dua pasangan mempelai bersanding di atas peterana, dan kemudiannya dibawa pula ke Geta Kirana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Permaisuri-Permaisuri negeri-negeri turut merenjis dan menepung tawar kedua pasangan mempelai.

Selang beberapa hari diadakan pula Istiadat Berlimau yang berlangsung di panca persada. Kedua-dua mempelai dirinig ke panca persada dengan iringan paluan Nobat. Istiadat Menyambut menjadi istiadat yang terakhir di dalam Istiadat Perkahwinan DiRaja. Istiadat ini diadakan di Dewan Penghadapan dengan dihadiri oleh Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah, kaum Kerabat, pembesar-pembesar negeri serta dif-dif jemputan.

sumber rujukan: http://www.mykedah2.com

Istiadat negeri Sabah

Mengikut tradisi masyarakat Murut, anak-anak mereka berkahwin dalam usia yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun bagi anak perempuan dan 15 hingga 18 tahun bagi anak lelaki. Ibu bapa bertanggungjawab dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka Dalam adat perkahwinan masyarakat Murut, sistem barian iaitu hantaran sampai mati atau barian kahwin seumur hidup diamalkan. Sistem ini dianggap sebagai tunjang adat bagi mengukuhkan tali persaudaraan antara ibu bapa dan anak perempuan yang telah berkahwin. Pada asasnya, adat perkahwinan masyarakat Murut merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.
Merisik Adat ini sama seperti adat merisik yang diamalkan oleh masyarakat lain. Ia bertujuan untuk mempastikan perempuan yang dihajati oleh seseorang lelaki itu masih belum berpunya atau belum dirisik oleh orang lain. Ibu bapa pihak lelaki terlebih dahulu akan menyampaikan hasrat mereka kepada keluarga perempuan. Dalam hal ini keluarga pihak perempuan akan memutuskan samada risikan itu diterima atau sebaliknya berdasarkan kepada persetujuan anak perempuan mereka. Seterusnya adat meminang dan bertunang pula akan menyusul.

Walaupun tidak dinyatakan adat meminang yang khusus, namun pada dasarnya adat meminang yang diamalkan oleh Masyarakat Murut menyerupai adat meminang yang dijalankan oleh masyarakat lain. Ini termasuklah dari segi penghantaran wakil sebagai meminang dan barangan tertentu yang dibawa semasa meminang.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan peminangan tersebut, adat pertunangan akan dijalankan. Upacara pertunangan biasanya berlangsung selama sepuluh hari. Semasa perbincangan dijalankan, beberapa orang saudara daripada pihak lelaki akan dijemput di samping ketua kampungnya dan ketua kampung daripada pihak isteri sebagai saksi utama. Perbincangan akan berkisar tentang mas kahwin dan hal-hal lain berkaitan perkahwinan.

Majlis perkahwinan lazimnya akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Kelazimannya upacara perkahwinan dilangsungkan selama lima hari berturut-turut. Tiga hari yang pertama dijalankan di rumah pengantin perempuan manakala hari selebihnya dilangsungkan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut.


sumber rujukan: http://malaysiana.pnm.my

Istiadat negeri Sarawak

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan masyarakat Melayu di Semenanjung. Ia merangkumi adat merasi, merisik dan majlis perkahwinan.

Apabila seseorang pemuda berkeinginan untuk berkahwin, dia akan meminta ibu bapa untuk mencari pasangan untuknya. Ibu bapa pula akan menyerahkan tugas kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai sebagai menantu mereka. Pencari jodoh akan menjadi perantara bagi keluarga lelaki dan akan memberikan pendapatnya tentang seseorang gadis itu sama ada sesuai atau tidak. Adat ini di panggil merasi.

Selepas merasi, ngangin pula di buat iaitu wakil pihak lelaki akan membuat pertanyaan secara formal kepada keluarga pihak perempuan (kerisik kerimun) sama ada perempuan itu sudah berpunya ataupun tidak. Pihak perempuan akan meminta tempoh untuk membuat persetujuan.

Bertekul membawa makna yang sama dengan merisik dalam masyarakat Melayu sebelum majlis bertunang diadakan. Ia bergantung kepada kesediaan bakal pengantin untuk ditunangkan. Semasa adat bertekul ini, hantaran wang atau barang kemas seperti cincin emas atau berlian akan diberi kepada si gadis yang menandakan acara pertunangan akan diadakan (mereya).

Semasa upacara pertunangan dilangsungkan, hantaran akan diberi oleh pihak lelaki melalui satu rombongan yang terdiri daripada sekumpulan ahli keluarga pihak lelaki.

Persediaan bagi majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama. Ia termasuk persediaan menempah kad jemputan, mencari mak andam dan sebagainya. Bagi majlis perkahwinan, mak andam adalah antara orang yang penting dalam menghias pengantin dan persediaan pelamin. Dalam masyarakat Melayu Sarawak, upacara yang melibatkan agama adalah acara akad nikah, sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar, berlulut dan makan nasi temuan. Bergendang adalah acara keraian secara beramai-ramai yang mengambil masa selama tujuh hari tujuh malam.

Jenis-jenis nikah:

1. Nikah benar ialah perkahwinan yang mengikut lunas-lunas Islam atau mengikut adat seperti merisik dan bertunang dan ianya direstui oleh kedua-dua belah pihak.

2. Nikah salah berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka akan dipaksa untuk berkahwin. Upacara perkahwinan akan dijalankan dengan ringkas dan sederhana.

3. Nyerah diri berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Ianya melibatkan perempuan dari golongan berada dan lelaki yang tidak berkemampuan. Mereka akan dinikahkan secara sederhana dan perbuatan ini akan memalukan keluarga perempuan.

4. Ngekot berlaku apabila perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki dan mereka akan dikahwinkan. Ini bukan kerana masalah yang melibatkan wang tetapi kerana keluarga perempuan tidak merestui atau menerima pilihan anaknya.

Pada waktu malam hari, iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan, upacara menepung tawar (berlulut) pengantin diadakan. Upacara berlulut ini juga adakalanya akan diikuti dengan upacara berpacar (berinai). Acara ini dimeriahkan lagi dengan acara pencak silat, gendang Melayu dan andai-andai atau tandak. Pengantin juga akan dimandikan oleh mak andam dalam acara mandi perantan yang diakhiri dengan berwudhu’. Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kerana dikhuatiri akan hilang seri pengantin.
Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki. Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu. Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah. Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga). Ianya bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali. Pada sebelah petang atau malam, makan nasi temuan diadakan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Pada kebiasaannya, selepas tujuh hari majlis perkahwinan berlangsung, adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini, ibu mentua akan menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraannya kerana mendapat menantu perempuan yang baru.

sumber rujukan: http://malaysiana.pnm.my


Istiadat negeri pulau pinang

Biasanya mereka akan pegang pada adat resam dan semua sanak-saudara akan berkumpul lebih awal sebelum kenduri perkahwinan kaum kerabat mereka. Mengenai adat perkahwinan, beliau menyatakan terdapat adat 'suap gula' yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Pulau Pinang. Berdasarkan adat ini, ahli keluarga akan menyuapkan gula dan juga susu ke mulut pengantin. Justeru, beliau berpendapat adat ini merupakan adat yang diamalkan di kalangan India Muslim di Pulau Pinang. Adat ini dianggap sebagai sesuatu yang unik yang terdapat dalam acara perkahwinan masyarakat Melayu Pulau Pinang, kerana di negeri-negeri lain adat seumpama ini tidak dilakukan.


sumber rujukan: http://www.google.com.my



1 comment:

  1. Adat kat pahang pla cmne? Sbb nk mminang org pahang nih.. dr sabah ke pahang.. jauuh.. ajo sket psl adat pahang..hhehe

    ReplyDelete